top of page

Pengenalan

Jabatan Bahasa Arab (JBA) ialah jabatan akademik yang terbaharu diwujudkan di IPG Kampus Darulaman berkuatkuasa 1 Januari 2019. Jabatan ini pada asalnya merupakan Unit Bahasa Arab di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JPIM). Jabatan ini diwujudkan dan dipisahkan daripada JPIM atas justifikasi bebanan tugasan dan fokus pengurusan JPIM yang mengendalikan dua program kebitaraan utama di IPGKDA iaitu Pendidikan Islam Sekunder dan Bahasa Arab Sekunder. JBA diterajui oleh seorang Ketua Jabatan dan dibantu oleh seorang Timbalan Ketua Jabatan dengan sokongan 10 orang pensyarah akademik. JBA diorganisasikan kepada tiga unit utama iaitu Unit Kurikulum Teras, Unit Pedagogi dan Pentaksiran dan Unit Penyelidikan, Inovasi dan Kurikulum Kontemporari. JBA berperanan mengendalikan kursus-kursus berkaitan Bahasa Arab bagi semua program yang ditawarkan di peringkat institut. Sehingga Januari 2019, terdapat empat kursus yang dikendalikan oleh JBA iaitu Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) Bahasa Arab, Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian (PISMP) Bahasa Arab, Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah (PDPLI) Mod Sepenuh Masa Program Pelajar Cemerlang (PPC) Bahasa Arab, Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah (PDPLI) Mod Kursus Dalam Cuti (KDC) Dini. Bilangan pelajar kendalian JBA yang sedang mengikuti semua program yang ditawarkan berjumlah 216 orang merangkumi 148 orang pelajar program sepenuh masa dan 68 orang pelajar program mod Kursus Dalam Cuti (KDC). JBA beriltizam melahirkan insan guru Bahasa Arab yang berwatak, berilmu pengetahuan, berakhlak, berkemahiran, kompeten, kreatif dan inovatif berpaksikan kandungan program dan kursus yang ditawarkan di samping aktiviti yang menyokong kemenjadian diri seorang guru.

 

Fungsi Jabatan

  • Melaksanakan kurikulum Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian (PISMP), Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah (PDPLI) Mod Sepenuh Masa dan Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah (PDPLI) Mod Kursus Dalam Cuti (KDC).

  • Mengendalikan empat program utama berpandukan perancangan tahunan jabatan yang mefokuskan kepada pembinaan ilmu pelajar dan pembangunan kompetensi pensyarah.

  • Menganjurkan program dan aktiviti yang dapat memperkasakan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar melalui program-program kebitaraan peringkat unit, jabatan dan IPGK.

  • Memberi kerjasama dan khidmat nasihat berkaitan Bahasa Arab kepada institut, majlis-majlis rasmi peringkat institut, individu dan jawatankuasa pengurusan institut dan aktiviti yang melibatkan Bahasa Arab apabila diperlukan di dalam atau di luar IPGK.

  • Bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral dan Jawatankuasa Masjid An-Nur menganjurkan program sempena bulan-bulan kebesaran Islam dan program keagamaan yang lain.

 

تمكين العربية لتثقيف العقلية

Pemerkasaan Bahasa Arab Demi Kesarjanaan Minda

bottom of page